[ English | B. Malaysia | Home | Sitemap | Contact Us | Login ]   
    » Home » ACTIVITIES » Press Release » UTUSAN MALAYSIA - 02/04/2009

  Hutan bakau untuk kehidupan
 
Sebahagian pelajar SMK Teloi Kanan yang membabitkan diri dalam kempen penanaman bakau di Kuala Gula, Perak.  

Setiap hari, nelayan di Kuala Gula seperti Zakaria Mohamad, 43, menyusuri pesisir laut untuk mencari rezeki bagi keluarganya.

Saban hari jugalah nelayan ini akan melalui dan melihat hutan paya bakau yang menjadi khazanah alam berharga semakin terhakis dek kerana manusia ataupun mungkin faktor alam.

Malah, hidupan laut dan ribuan camar seakan sedar kawasan tersebut yang menjadi alam mereka lambat laun semakin berubah landskapnya.

Dari laut sehinggalah menyusuri muara Sungai Kuala Gula, Perak, fikiran Zakaria melayang kepada anak cucunya mengenai masa depan mereka kerana fenomena alam seperti tsunami yang berlaku pada 26 Disember 2004 sudah cukup menakutkan.

Sumber terpenting di Kuala Gula seperti juga di Kampung Padang Salim, Kota Kuala Muda Kedah yang mengharap kepada hutan bakau sebagai benteng kepada hakisan dan ekosistem lautnya.

'Saya bersama rakan-rakan memikirkan untuk berbuat sesuatu menyelamatkan hutan paya bakau yang menjadi benteng hadapan kami dari musnah,' ujar Zakaria.

Keluhan Zakaria dan rakan-rakannya sudah lama bermain di benak fikiran bilakah lagi minda penghuni alam ini akan tersedar tentang kepentingan menjaga alam dan memuliharanya?.

Namun, kehadiran sekelompok pencinta alam yang begitu prihatin terhadap alam sekitar banyak membuka lembaran dan harapan baru kepada mereka.

Menariknya, sekelompok generasi baru dari Kelab Pencinta Alam (KPA) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teloi Kanan Baling, Kedah dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Global Environment Centre (GEC) dan Sahabat Hutan Bakau (SHB) Kuala Gula yang diterajui Zakaria sendiri mula menggerakkan harapan memulihara kawasan paya laut menjadi hutan paya bakau bagi dijadikan zon penampan baru.

Logiknya usaha kumpulan ini kerana lebih 500 hektar kawasan paya laut di Kuala Gula bagai padang jarak padang tekukur hanya sesekali dilimpahi air masin menenggelamkan kawasan lapang ini.

Penyelaras program pemuliharaan hutan bakau, S. Kalaimani yang menjadi perantara antara generasi muda seperti 400 ahli kelab SMK Teloi Kanan Baling ini dengan SHB dan GEC berkata, ia satu pendekatan terbaik merealisasikan projek penanaman bakau.

Lebih ke hadapan apabila S.Kalaimani dengan anak-anak buahnya begitu komited dan berani mewujudkan Pusat Pembelajaran Ekologi Paya Bakau (Mangrove Ecology Education Centre) dengan matlamat menjadi tunjang dalam menjayakan program pemulihan dan penghayatan pendidikan ekologi paya bakau sekali gus menjadi pusat sokongan kepada sekolah-sekolah khususnya sekolah di negeri Kedah dan Perak.

Jelas guru prihatin alam sekitar ini, pusat ini akan menjadi stesen bagi pemerhatian pelbagai hidupan di sekitar ekologi paya bakau yang semakin terancam.

Kesungguhan penyelaras ENO Environment Malaysia ini juga bertujuan memberi lebih banyak aktiviti pendidikan dan riadah dapat dijalankan bagi kepentingan pelajar, penduduk setempat dan alam yang boleh membawa faedah untuk jangka pendek dan jangka panjang.

S.Kalaimani berkata, kepakaran guru sekolah dalam bidang geografi, alam sekitar, pertanian, perikanan dan hortikultur akan menjadi aset terbaik dalam melaksanakan pelbagai aktiviti melibatkan ekologi paya bakau dan alam sekitar.

Peranan kumpulan ini selaras dengan saranan United Nation of Environment program dalam melaksanakan The Million Tree Campaign-Plant for the Planet dengan SMK Teloi Kanan mendahului sekolah lain di Malaysia dalam projek penanaman bakau.

Malah penyertaan S.Kalaimani dalam pembentangan kertas kerja pada Projek Penanaman Pokok Bakau dan Cyber Plant Cocervation Project (CPCP) di Universiti Joenssu,Finland bersama 43 buah negara lain menunjukkan usaha memulihara hutan bakau dan menjaga kepentingannya telah melangkaui batas sempadan antarabangsa dan bukti pengiktirafan dunia.

Impian dan sasaran menanam sejuta pokok pada tahun 2017 akan berhasil apabila sehingga kini KPA SMK Teloi Kanan telah menanam lebih 30,000 pokok bakau di kawasan pantai Kuala Gula, Perak dan di Padang Salim, Kota Kuala Muda, Kedah. SMK Teloi Kanan turut menjadikan hutan paya bakau di Kuala Gula sebagai kawasan angkat.

Hasrat besar kumpulan ini semakin direalisasikan dengan mewujudkan pusat pembelajaran ekosistem paya bakau, mengusahakan projek semaian benih bakau dan projek menanam pokok bakau di persisiran pantai Kuala Gula.

Penampilan S.Kalaimani dengan ahli kelabnya malah sokongan kuat GEC di Kuala Gula telah membantu nelayan seperti Zakaria melihat kehidupan mereka sebagai nelayan yang sentiasa berdepan dengan faktor alam yang tidak menentu sedikit sebanyak mencerahkan impian untuk melihat Kuala Gula tidak mudah terancam.

Justeru dalam membantu Zakaria bersama lebih 40 ahli nelayan dan penduduk Kuala Gula melalui SHB sentiasa mengiringi pejuang-pejuang alam sekitar untuk kepentingan nelayan sepertinya.

'Kami lega biarpun bersama pelajar sekolah dan GEC kami sentiasa membantu untuk masa hadapan dan kepentingan alam sekitar," katanya.

Ketika menaiki sampan bersama Zakaria, Kalaimani dan seorang pegawai GEC, Balu Perumal memasuki muara sungai dan pesisir laut Kuala Gula penulis melihat deretan pokok api-api di sepanjang kawasan paya laut seakan memberi gambaran kawasan tersebut sudah selamat.

Namun Balu Perumal yang berpengalaman sebagai seorang yang arif tentang hutan bakau dengan cepat menunjukkan kepada penulis kawasan padang jarak padang tekukur di sebalik deretan pokok api-api yang menghijau itu betapa kawasan tersebut mesti diselamatkan dengan hutan bakau.

'Lihatlah hanya deretan pokok api-api menunjangi kawasan hutan paya laut di belakangnya kosong sudah tentu tidak selamat," jelas Balu Perumal lagi.

Pun begitu usaha kumpulan ini menarik golongan pelajar sekolah mencintai alam patut disambut dengan sokongan lebih padu bagi memastikan kita tidak lagi terlalu terkejut, meronta dan terbisa dengan terjahan fenomena alam seperti tsunami.

Memanglah adat kita gemar bertindak dan mencari jalan pada awal kejadian tetapi semakin lupa apabila ia telah lama berlalu.

Jelas peranan hutan bakau di kawasan muara sungai dan pesisir pantai adalah sangat penting kerana fenomena alam bukan lagi satu sandiwara yang dianggap remeh dan ringan.

Peranan menstabilkan muara dan pesisir pantai, pokok-pokok bakau yang berakar ceracak dan tumbuh padat dapat mengurangkan pengaliran sedimen dari kawasan muara dan pantai dan ini boleh mengekal dan menstabilkan muara dan pantai.

Sebagai penapis bahan pencemaran hutan paya bakau berupaya menyerap bahan pencemar seperti Sebatian Nitrogen dan Sebatian fosforus dengan ini dapat mengurangkan pembiakan alga dan mengekalkan kandungan oksigen di dalam air.



Print Friendly